
Rosli Dahlan memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 29 Dis lepas menerusi Tetuan Vin Law Co dan ia telah ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Ahmad Kamal Md Shahid pada 19 Feb ini.
Beliau menamakan Ketua Polis Negara Razarudin Husain, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urusetia Ketua Polis Negara Muhammad Hasbullah Ali serta Timbalannya Foo Wei Min dan Pegawai Penyiasat Mohd Faizal Mohd Atan sebagai responden pertama hingga kelima.
Turut dinamakan Ketua Pengarah JIM Khairul Dzaimee Daud, polis, JIM dan kerajaan.
Rosli memohon perintah untuk membatalkan keputusan atau tindakan responden pertama hingga kelima yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengaitkan beliau dengan laporan polis berkaitan i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd (i-Serve) yang tiada kena-mengena dengannya.
Beliau juga memohon perintah bahawa tindakan kelima-lima responden yang menyebabkan tangkapan, penahanan dan tahanan reman terhadapnya pada 26 Okt 2023 serta membekukan akaun banknya adalah menyalahi undang-undang serta melanggar hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Peguam itu turut memohon agar mahkamah membatalkan sekatan ke luar negara terhadapnya.