
Sumber berkata, SPRM sudah ke Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan hari ini.
“SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta, baru-baru ini.
“Siasatan awal menjurus kepada bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan adakah prosesnya mengikut tatacara yang betul,” katanya.
Tambahnya, siasatan dilakukan berdasarkan maklumat awal sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran di Dewan Rakyat pada November lalu mengenai jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut tetapi enggan mendedahkan butiran siasatan.
Sabtu lalu, Ketua Polis Wangsa Maju Ashari Abu Samah mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti menghebahkan agenda kerajaan dari 2020 hingga 2022.
Media sebelum ini melaporkan Putrajaya membelanjakan sehingga RM700 juta untuk kerja pengiklanan, promosi dan publisiti menghebahkan agenda kerajaan bagi 2020 hingga 2022.
Perbelanjaan dua pentadbiran terdahulu bagi menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan.