Perbaharui lesen memandu, cukai jalan melalui MyJPJ mulai 1 Feb

Perbaharui lesen memandu, cukai jalan melalui MyJPJ mulai 1 Feb

Menteri pengangkutan berkata ia akan dilaksanakan secara berfasa dengan peringkat awal hanya melibatkan kenderaan persendirian individu.

Fungsi baharu itu akan menjimatkan masa dan kos serta mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter JPJ. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor melalui aplikasi MyJPJ boleh dilakukan mulai 1 Feb ini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata ia akan dilaksanakan secara berfasa dengan peringkat awal hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara).

“Pertambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam memperbaharui LKM dan LMM secara digital, menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter JPJ,” katanya dalam ucapan semasa lawatan di JPJ Selangor.

Beliau berkata, bagi menggalakkan penggunaan e-LMM, kerajaan akan memberikan rebat RM5 kepada orang ramai yang memperbaharui lesen memandu secara digital yang akan dinikmati hingga 31 Dis.

Loke berkata, inisiatif itu terpakai untuk warganegara Malaysia yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ (Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad)

Sementara itu, beliau berkata bermula hari ini orang awam boleh membuat perkongsian e-LKM menggunakan fungsi baharu iaitu “Kongsi LKM” di Aplikasi MyJPJ.

“Melalui fungsi baharu ini, pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM sesama ahli keluarga, rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan,” katanya.

Katanya, perkongsian itu mempunyai had masa boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan serta ia akan dihapuskan jika tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam.

“Pemilik kenderaan hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain,” katanya.

Bagaimanapun, Loke berkata bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.

“Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan,” katanya.

Menurutnya, LKM yang baharu itu tidak perlu dilekat atau dipamerkan pada cermin kenderaan seperti keperluan Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini sebaliknya disimpan mengikut kesesuaian orang awam.

“Slip LKM ini tidak wajib dan bertujuan untuk memberi masa kepada mereka yang masih perlu menyesuaikan diri dengan sistem digital,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.