
Syed Mohamad Nazli Syed Ahmad berkata, pada mulanya anaknya bermain bersama kakaknya di kawasan belakang rumah, namun sekitar pukul 6 petang kanak-kanak itu tidak pulang.
“Selalu anak saya tidak keluar ke mana-mana pun, hanya di belakang rumah tengok kucing dengan kakak dia sahaja… tapi kakak dia masuk dia tak masuk, hari semakin gelap, kita risaulah tiba tiba dia tidak balik,” katanya kepada FMT.
Susulan itu, keluarga tersebut mendapatkan bantuan kejiranan dan pihak polis menggerakkan usaha mencari kanak-kanak tersebut di kawasan sekitar kediaman mereka.
Satu hantaran hebahan turut dibuat seorang pengguna Facebook untuk memaklumkan berhubung kehilangan kanak-kanak itu.
Hantaran itu yang tular di media sosial meminta bantuan orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkenaan kanak-kanak terbabit, khususnya di sekitar Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.
“Semua orang dah keluar, polis pun datang, ada gerakan mencari tak rasmi. Itulah keadaannya.
“Bila mula mencari hujan pula, kesimpulan saya (mungkin) dia takut sebab dia masuk lambat…saya rasa dia ada berdekatan tidak pergi mana, (cuma) tiba-tiba orang mencari, ramai, ada polis semua datang, dia lagi takut,” kata Syed Mohamad Nazli.
Bagaimanapun, sekitar jam 10 malam, kanak-kanak itu ditemui penduduk berada di kawasan apartment berhampiran kejiranan tersebut.
“Selamat ditemui pada jam 10 lebih kurang tadi.Dia bukan budak nakal, bukan budak buas, dia pergi ke apartment sebelah perumahan kami, dia duduk di situ, ada orang jumpa di situ.
“Dia ok saja, tidaklah ketakutan, saya pun tak tanya dia lagi. Alhamdulillah dah jumpa,” katanya, yang turut merakamkan penghargaan kepada jiran dan pihak polis terlibat dalam pencarian tersebut.