
Ketua Polis Klang Selatan, Ramli Kasa, berkata kanak-kanak itu bersama adik dan sepupunya tidak cedera, tetapi Proton Saga dipandunya mengalami kerosakan kecil di bawah bonet depan sebelah kanan dalam kejadian kira-kira 10 pagi.
Bertindak atas maklumat, katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Selatan berjaya mengesan kereta itu bersama pemiliknya dan tiga kanak-kanak dipercayai berada di dalamnya semasa kejadian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta itu pada awalnya dipandu ibu kepada dua beradik terbabit dari Bandar Sultan Suleiman di Pelabuhan Utara Klang menuju rumah kakaknya di Telok Gong.
“Setibanya di rumah kakak, wanita terbabit yang juga pemegang kad UNHCR (Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) meninggalkan kenderaan sebentar untuk ke tandas,” katanya menurut Sinar Harian.
Ramli berkata, anak lelakinya kemudian mengambil kunci kereta lalu mengajak adiknya berusia tujuh tahun dan sepupu mereka ke kedai.
Ketika menghampiri kawasan kedai, katanya, kanak-kanak itu gagal mengawal kereta terbabit lalu terbabas ke longkang di bahu jalan.
Beliau berkata, dua beradik itu memiliki kad UNHCR, manakala sepupu mereka warga tempatan.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) dan 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Kanak-kanak 2001 bagi mengenal pasti sebarang unsur pengabaian terhadap kanak-kanak.
Beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga lebih peka serta memantau pergerakan anak dengan tidak membiarkan mereka memandu atau menunggang kenderaan yang boleh mengundang risiko keselamatan.