Hanya sedar ditipu selepas 11 tahun, pesara doktor rugi hampir RM4 juta

Hanya sedar ditipu selepas 11 tahun, pesara doktor rugi hampir RM4 juta

Polis berkata warga emas itu tidak menerima sebarang pulangan melalui pelaburannya sejak menyertai skim berkenaan pada 17 Dis 2014.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata mangsa berminat menyertai skim pelaburan ditawarkan suspek yang juga rakan kepada mendiang isterinya. (Gambar Bernama)
IPOH:
Hanya selepas 11 tahun, seorang pesara doktor menyedari ditipu dan terpaksa menanggung kerugian lebih RM3.9 juta selepas menyertai satu skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata laporan polis dibuat lelaki 74 tahun itu di IPD Ipoh semalam.

“Suspek menawarkan satu skim pelaburan dan mangsa berminat menyertainya disebabkan suspek merupakan rakan kepada mendiang isterinya.

“Bermula 17 Dis 2014 hingga 9 April lalu, mangsa memaklumkan menyerahkan wang berjumlah RM3.9 juta kepada suspek secara tunai atau dimasukkan ke akaun bank atas nama suspek.”

Beliau berkata, warga emas itu tidak menerima sebarang pulangan melalui pelaburannya sejak menyertai skim berkenaan.

“Suspek turut memberikan pelbagai alasan setiap kali mangsa bertanyakan pelaburan dibuatnya,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai jangan mudah percaya janji pulangan pelaburan tinggi dalam masa singkat dan menyemak sama ada pelaburan itu berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara terlebih dahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.