
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata pendirian itu akan menjauhkan Amanah dari pengundi tradisi Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang bimbang parti itu akan lebih memberi muka kepada komuniti bukan Melayu berbanding Melayu-Islam.
Katanya, parti pembangkang seperti PAS akan menggunakan isu itu kerana Perikatan Nasional dilihat lebih menarik kepada kebanyakan pengundi kerana mesej Islam dan Melayu yang dibawanya berbanding konsep ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat untuk semua) yang didakap Amanah.
“Pengundi Melayu sederhana seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan di bandar, termasuk yang berpelajaran dan berfikiran lebih terbuka, akan menyokong Amanah.
“Bagaimanapun, Melayu yang tinggal di kawasan pedalaman, negeri pantai timur, dan di wilayah utara tidak akan menyokong Amanah kerana mereka percaya parti itu dipengaruhi DAP,” kata Mazlan kepada FMT.
Beliau mencadangkan Amanah meluaskan jaringan akar umbi dengan membuka lebih banyak ranting dan ahli parti seperti dilakukan PAS, untuk menyebarkan mesejnya kepada komuniti Melayu dengan lebih meluas dan memecahkan penguasaan PAS.
Tambah Mazlan, Amanah bukan sahaja memerlukan lebih ramai pemimpin akar umbi, tetapi perlu mendominasi institusi akar umbi Melayu seperti di masjid dan komuniti kampung untuk menjadikan parti itu lebih terserlah dan menarik kepada orang Melayu.
Pada Ahad lalu, Mohamad berkata Amanah harus pertahankan golongan bukan Islam sekiranya berlaku penindasan terhadap mereka.
Beliau berkata ia selaras dengan pendekatan ‘rahmatan lil alamin’ yang didakap Amanah.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kenyataan Mohamad itu akan membantu Amanah mendapatkan sokongan komuniti bukan Melayu tanpa terlalu bergantung kepada DAP dan PKR.
Katanya, strategi Amanah adalah penting untuk membentuk kerajaan kerana sebuah parti politik mesti mampu menarik sokongan daripada pengundi Melayu dan bukan Melayu.
Beliau memberi contoh PAS yang gagal membentuk kerajaan walaupun menjadi parti tunggal memenangi paling banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu.
“Berapa lama isu agama dan bangsa boleh digunakan untuk menarik sokongan Melayu? Itu masalahnya. PAS hanya berjaya menarik sokongan pengundi Melayu, dan sebab itu ia kekal sebagai pembangkang walaupun menjadi parti paling kuat.
“PAS tak mampu mendapatkan sokongan daripada pengundi bukan Melayu,” kata Azmi.