Pemilik tapak izin Kepung Demi Palestin diteruskan, kata Tian Chua

Pemilik tapak izin Kepung Demi Palestin diteruskan, kata Tian Chua

Tian Chua berkata pemilik tapak membenarkan penganjur Kepung Demi Palestin menggunakan kawasan piket sekarang.

Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua, berkata isu tempat tak sesuai tidak lagi timbul kerana pihaknya telah dapat kelulusan pemilik tapak.
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiada lagi hak menghalang piket Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin berlangsung di tapak sekarang, kerana pemilik dikatakan baru sahaja mengizinkan penganjur menggunakannya.

Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua, berkata isu ‘tempat tak sesuai’ tidak lagi timbul kerana pihaknya telah dapat kelulusan untuk terus menggunakan kawasan berkenaan sehingga 31 Disember, selepas berjumpa pemilik tapak.

“Malam ini dia sudah menghantar satu surat menerusi WhatsApp untuk membenarkan kami guna semua kawasan.

“Jadi tak wujud isu DBKL untuk halang kita,” katanya kepada pemberita berdekatan Kedutaan Amerika Syarikat malam tadi.

Sementara itu, Tian memaklumkan DBKL pagi tadi mencadangkan beberapa kawasan lain untuk piket enam hari itu, antaranya Padang Merbok dan Ampang Point.

Tian bagaimanapun berkata berpiket di Padang Merbok tidak sesuai dengan tema Kepung Demi Palestin manakala berpiket di Ampang Point dipercayai akan menganggu lalu lintas memandangkan ia berhampiran kawasan Transit Aliran Ringan.

“Akhirnya nampak sini tempat yang paling sesuai,” katanya.

Mengulas tentang kertas siasatan yang dibuka polis semalam, Tian Chua berkata, setakat ini beliau tidak dipanggil untuk dirakam keterangan.

“Sekarang pemilik tanah telah benarkan kami terus guna tapak ini. Tak perlu permit dah,” katanya.

Semalam, Tian Chua berkata persetujuan telah dicapai antara pihak penganjur dengan pihak berkuasa dan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkaitan syarat-syarat tertentu bagi membolehkan protes diteruskan sehingga 31 Disember.

Katanya, antara syarat ialah mereka perlu menghentikan semua aktiviti melibatkan penggunaan pembesar suara sebelum jam 12 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.