
Ketuanya, Oh Tong Keong berkata Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Chow Kon Yeow dan CEO K Pathmanathan perlu memohon maaf serta melepaskan jawatan mereka.
“Chow yang juga ketua menteri Pulau Pinang harus rasa bersalah kerana gagal memberi perkhidmatan bekalan air yang baik kepada rakyat Pulau Pinang.
“Sekiranya Chow dan Pathmanathan tidak berkemampuan menjalankan tugas mereka, maka lebih baik mereka meletak jawatan.

“Ini akan memberi peluang kepada mereka yang lebih berkebolehan dan profesional menyandang dua jawatan itu bagi meningkatkan kecekapan PBAPP dan mengelakkan rakyat Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air berterusan,” katanya dalam kenyataan.
Masalah air di negeri itu bermula apabila saluran paip utama di dasar sungai pecah, menyebabkan sekurang-kurangnya satu perempat daripada kawasan selatan Pulau Pinang berdepan gangguan bekalan air.
Kira-kira 120,000 pengguna di barat daya Pulau Pinang terputus bekalan air pada 18 Dis lalu akibat saluran paip di Sungai Perai pecah.
Kerja pembaikan itu sepatutnya mengambil masa sehari, tetapi berlarutan hampir empat hari dan berakhir pada 5.30 pagi 22 Dis lalu. Bekalan air hanya pulih pada 2 petang hari sama.
Sementara itu, Oh mendakwa sekurang-kurangnya empat bahagian di pulau itu tiada bekalan air ketika sambutan Krismas semalam disebabkan kerja pembaikan terdahulu di pinggir bandar Air Itam yang sepatutnya siap dalam masa sehari.
Bulan depan, 80% pengguna di negeri itu akan berdepan gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Jan nanti.
PBAPP berkata, injap utama di loji rawatan air Butterworth perlu digantikan, menyebabkan kira-kira 590,000 pengguna di Pulau Pinang dan Seberang Perai akan terjejas.
Oh mendakwa selepas masalah bekalan air baru-baru ini, rakyat Pulau Pinang tidak yakin kerja pembaikan bulan depan dapat diselesaikan dalam empat hari mengikut jadual.
“Mereka risau kerja pembaikian pada awal tahun depan itu mungkin mengambil masa lebih panjang selama 14 hari.”
FMT sudah menghubungi Chow dan PBAPP untuk mengulas.