
Lau berkata Takiyuddin dan Samsuri bertemunya untuk memohon maaf dan menjelaskan bahawa kenyataan itu adalah pandangan peribadi perwakilan dan tidak mencerminkan pendirian kepimpinan parti.
“Mereka kata kenyataan itu datang daripada ‘loose cannons’ dalam parti dan meminta saya supaya tidak mengambilnya secara peribadi. Saya terima permohonan maaf mereka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Gerakan Selangor di sini hari ini.
“Mereka berkata itu adalah kenyataan melulu daripada segelintir ahli dan meminta saya tidak terasa hati. Saya menerima permohonan maaf mereka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Gerakan Selangor.
Pada muktamar PAS baru-baru ini, seorang perwakilan ulama mempersoalkan kemampuan Lau sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang.
Lau menepis kritikan itu dengan berkata Gerakan secara aktif berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri pimpinan DAP, walaupun tidak mempunyai kerusi dalam DUN.
Kemudiannya, seorang lagi perwakilan meningkatkan kritikan dengan mendakwa Lau gagal menunjukkan kepimpinan berkesan, termasuk kurang bekerjasama dengan 11 Adun PN di Pulau Pinang.
Ini bukan kali pertama kepimpinan PAS terpaksa memohon maaf kepada Lau.
Ketika kempen PRN Pulau Pinang pada Ogos 2023, Lau dihalang daripada menghadiri ceramah PN anjuran PAS. Ia dipercayai sebagai protes sebahagian ahli parti itu terhadap pencalonannya bagi kerusi Bayan Lepas.
Takiyuddin kemudiannya memohon maaf berhubung insiden itu, dengan berkata Lau sepatutnya diterima dan dilayan sebagai tetamu, selaras dengan prinsip Islam.
Sanusi bukan merujuk kepada Gerakan
Sementara itu, Lau berkata kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor bahawa ada sekutu PN bergantung kepada dana serta jentera pilihan raya PAS bukanlah ditujukan kepada Gerakan.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong pula berkata menteri besar Kedah itu menjelaskan bahawa ucapannya hanyalah ‘gurauan untuk menceriakan suasana’ di muktamar.
Mengenai usul PAS untuk mengetuai PN dan menamakan calon perdana menteri, Lau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang.