
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, keputusan mengekalkan Mohamad Sabu sebagai presiden Amanah dan memberi peluang beliau menghabiskan penggal terakhir demi mengelakkan perpecahan dalaman.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, akan dibantu Mujahid Yusof Rawa sebagai timbalan presiden dan tiga naib presiden – Dr Dzulkefly Ahmad, Siti Mariah Mahmud dan Adly Zahari.
“Tetapi, bila letak Mujahid sebagai timbalan, itu bermakna Mohamad bersedia untuk perubahan kerana Mujahid mewakili kumpulan ‘reform’ dalam Amanah yang boleh buat perubahan supaya dilihat sebagai parti lebih segar dan berwajah masa depan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kepimpinan tertinggi lama digabung muka baharu dan pemimpin muda dalam jawatankuasa pusat boleh membawa Amanah melangkah ke era baharu.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berpandangan keputusan memilih Dzulkefly sebagai naib presiden boleh meredakan pertembungan antara kumpulan Mohamad dan Mujahid.
“Dzulkefly dianggap pilihan alternatif dan berkecuali, yang bertembung kuat adalah antara kem Mohamad dan Mujahid. Ramai pilih Dzulkefly yang dianggap neutral dan berkecuali.”
Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor mendapat undian tertinggi, iaitu sekitar 900 undi daripada 1,003 perwakilan yang memilih 27 ahli jawatankuasa pusat.
“Ada dua puak bersaing, ada kompromi apabila Mujahid diletakkan di kedudukan kedua, itu berjaya disantuni presiden,” katanya sambil menambah barisan baharu itu diharapkan dapat mengharmonikan Amanah dan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) serta parti komponen lain yang membentuk kerajaan perpaduan.
“Saya kira berdasarkan 27 ahli jawatankuasa itu, ada pemimpin pelapis, tetapi mereka mendahului kepentingan parti dan PH yang lebih besar untuk meletakkan pemimpin berpengalaman seperti Mohamad terus berada di kedudukan nombor satu.
“Ini berlaku untuk hubungan antara Amanah dengan parti lain, termasuk PH, DAP dan PKR dilihat terus harmoni, begitu juga dengan komponen lain seperti Umno.”