
Beberapa orang yang ditemui FMT juga mencadangkan kepada kerajaan untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka terutama di tempat awam.
Seorang kakitangan swasta, Armin Azam, 48, berkata beliau berharap kerajaan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam khususnya kawasan sesak atau tumpuan ramai, kemudahan kesihatan, dan sekolah.
“Orang kita degil, kalau tak diwajibkan tak akan pakai (pelitup muka).
“Agak bimbang dengan trend peningkatan kes ini. Sekarang pergi mana-mana pun ramai tidak memakai pelitup muka, lebih teruk lagi ada rakan sekerja yang degil tidak pakai pelitup muka walaupun ada simptom Covid-19,” katanya.
Seorang pesara yang ingin dikenali sebagai Brian, 72, berkata tiada keperluan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak kerana amalan pemakaian pelitup muka adalah bergantung kepada pilihan sendiri pada masa ini.
“Namun saya masih harap mereka yang terkena (jangkitan) Covid-19 itu pakai pelitup muka. Mungkin gejala mereka tidak begitu serius tetapi tidak bermakna orang lain turut sama mempunyai gejala ringan,” katanya.
Seorang pelajar universiti tempatan dikenali sebagai Ganesh, 22, turut mengakui kepentingan untuk mengamalkan pemakaian pelitup muka.
“Secara jujurnya saya sudah pun lega untuk berhenti pakai pelitup muka sejak kerajaan tidak lagi dikuatkuasakan pemakaian itu. Tapi makin banyak orang di sekeliling terkena jangkitan Covid-19, terpaksa sesuaikan diri untuk memakai semula. Ini sudah memadai. Tak perlu terlalu panik,” katanya.
Seorang suri rumah, Lee Su Pei, 35 yang pernah mengalami simptom serius ketika dijangkiti wabak Covid-19 sebelum ini turut memilih untuk memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan.
“Seksanya sesak nafas masa itu. Jadi kes naik atau tidak saya tetap akan pakai pelitup muka. Sudah biasa pakai pun. Lebih baik mencegah daripada kesal nanti,” katanya.
Jumlah kes Covid-19 meningkat 62.2% iaitu 20,696 antara 10 hingga 16 Dis lalu.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad dalam satu sidang media pada Selasa berkata keadaan masih terkawal dan tidak perlu melaksanakan perintah kawalan pergerakan seperti sebelum ini.
“Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka amat digalakkan,” katanya.
Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook juga menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka ketika berada dalam pengangkutan awam.