Laporan toksikologi kes libat Namewee ambil masa beberapa bulan

Laporan toksikologi kes libat Namewee ambil masa beberapa bulan

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata Namewee masih kekal bawah jaminan pihaknya sementara menunggu keputusan laporan kimia.

namewee Wee Meng Chee
Pada 26 Nov lalu polis mengesahkan jaminan Namewee disambung memandangkan masih menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat mangsa.(Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Laporan toksikologi kes kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yu-hsin pada 22 Okt lalu yang membabitkan penyanyi rap Wee Meng Chee atau Namewee mengambil masa beberapa bulan untuk dilengkapkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata Namewee masih kekal bawah jaminan pihaknya sepanjang tempoh siasatan sementara menunggu keputusan laporan kimia itu.

“Kita sedang menunggu laporan toksikologi seperti mana yang dinyatakan. Ia mengambil masa beberapa bulan untuk dilengkapkan,” katanya selepas Majlis Peluncuran Taman Angkat Tahun 2025 di Dataran PPR Seri Alam Fasa 2.

Mengulas lanjut, Fadil berkata siasatan akan diteruskan seperti biasa dan keutamaan diberikan kepada penerimaan segera hasil laporan berkenaan.

“Kalau tak kita akan melanjutkan lagi tempoh jaminan itu,” katanya.

Pada 26 Nov lalu, polis mengesahkan jaminan Namewee disambung memandangkan pihaknya masih menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat mangsa.

Namewee sebelum ini direman dari 5 hingga 13 Nov selepas menyerah diri di IPD Dang Wangi, berhubung siasatan kes kematian pempengaruh tersebut.

Kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), kemudian disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas polis mengesyaki terdapat unsur jenayah.

Difahamkan, Namewee berada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.