Abai 3 anak, wanita diarah jalani khidmat masyarakat

Abai 3 anak, wanita diarah jalani khidmat masyarakat

Wanita itu mengaku bersalah di mahkamah atas tuduhan meninggalkan tiga anaknya yang berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Darmafikri Abu Adam mengarahkan wanita berusia 41 tahun itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Seorang ibu diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan, kerana mengabaikan tiga anaknya, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Darmafikri Abu Adam, menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita berumur 41 tahun itu, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan.

Ibu kepada empat anak itu yang bekerja sebagai pembantu am sekolah juga dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun, dengan jaminan RM7,000 di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan itu, wanita itu didakwa dengan cuai meninggalkan tiga anak kandungnya yang ketika kejadian berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan, yang mungkin menyebabkan ketiga-tiga anaknya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana dalam daerah Melaka Tengah antara 16 hingga 18 Jun 2021 dan 23 hingga 25 Sept 2021.

Pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Omar Zulkarnain yang mewakili tertuduh, merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepada anak guamnya dan memohon perintah bon berkelakuan baik dengan alasan wanita itu telah insaf.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom membantah permohonan itu, kerana dikhuatiri tidak mencapai sifat hukuman untuk menghalang masyarakat melakukan kesalahan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.