Undi penjawat awam kembali jika kerajaan stabil, kata Mat Sabu

Undi penjawat awam kembali jika kerajaan stabil, kata Mat Sabu

Presiden Amanah berkata sebahagian penjawat awam terpengaruh dengan kenyataan PAS kerajaan boleh bertukar tanpa melalui pilihan raya.

Mohamad Sabu mendakwa selepas PRN enam negeri, hampir separuh penjawat awam memilih PH-BN pada PRK Pulai dan Simpang Jeram. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penjawat awam akan mengundi kerajaan perpaduan jika pentadbirannya kekal stabil sehingga PRU akan datang, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Mohamad atau dikenali Mat Sabu berkata, gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional hilang banyak undi penjawat awam pada PRN kerana pembangkang memainkan naratif akan berlaku perubahan kerajaan.

“Kerajaan akan bertukar selepas PRN enam negeri, penjawat awam kalau tak percaya pun tak boleh kerana telah berlaku pertukaran perdana menteri sebelum ini tidak melalui pilihan raya.

“Maka kita lihat, pada PRN enam negeri undi penjawat awam begitu parah…parah sekali.

“Kalau tak percaya macam mana, yang mengatakan lepas pilihan raya yang bercakap itu orang yang pernah jumpa nabi, melalui mimpi, dan mimpinya disahkan mursyidul am PAS, ya…kamu ahli Amanah, kamu ahli Umno, DAP kamu tak percaya, tapi orang awam? Ini seorang ulama besar sebab itu dia masuk dalam pemikiran,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah.

Bagaimanapun, beliau berkata corak pengundian penjawat awam sedikit berubah selepas mereka mendapati tiada perubahan pentadbiran baik di peringkat negeri dan pusat.

Mohamad mendakwa, susulan PRN kira-kira separuh penjawat awam mengundi PH-BN pada PRK Pulai dan Simpang Jeram. Beliau berkata, hampir 60% undi penjawat awam pergi kepada PH-BN pada PRK Pelangai.

“Saya yakin selepas empat tahun (PRU16) kerajaan tidak (akan bertukar) dan penjawat awam akan bersama kita,” katanya.

Katanya, penjawat awam menjadi mangsa propaganda supaya percaya kerajaan pusat dapat ditukar tanpa melalui PRU.

Tiada ancaman kepada Melayu-Islam

Mohamad berkata, polemik dicetuskan pembangkang perlu ditangani sambil mengambil maklum sentimen dimainkan bahawa ada ancaman kepada kedudukan Melayu dan Islam di negara ini dan “orang Cina mahu ambil alih negara”.

“Populasi orang Cina menurun. Saya lihat profesional Cina sama ada berkahwin lewat atau tak banyak anak, berbanding Melayu, yang mudah ada 20 cucu. Bagaimana mereka nak ambil alih negara?

“Pembangkang bagaimanapun terus memainkan pelbagai isu kerana DAP dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, agenda terpenting sebagai presiden Amanah adalah menangani sentimen dan retorik tidak berasas.

“Ini merupakan satu sentimen dimainkan, yang tidak berfakta langsung dan ia dipercayai oleh orang Melayu, bukan hanya anak muda, orang lama di negeri Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.