Pelajar maut dilanggar, pegawai kanan polis direman 3 hari

Pelajar maut dilanggar, pegawai kanan polis direman 3 hari

Lelaki berusia 44 tahun direman susulan kematian seorang pelajar sekolah 17 tahun di hadapan sekolah di Ipoh.

Poster tertera tulisan ‘Justice For Muhammad Zaharif Affendi’ ditampal pada penghadang di sebuah tapak pembinaan bersebelahan Mahkamah Sesyen/Majistret Ipoh. (Gambar Bernama)
IPOH:
Pegawai polis disyaki terlibat kemalangan membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru semalam, direman tiga hari.

Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan di lokap IPD Ipoh bagi membenarkan permohonan polis untuk siasatan.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata lelaki berusia 44 tahun itu direman bermula hari ini hingga Isnin depan, bagi membantu siasatan kes.

Semalam, polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan kes bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Yahaya berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 12.40 tengah hari melibatkan kereta Perodua Ativa dipandu suspek dan motosikal jenis Yamaha ditunggang pelajar terbabit.

Mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala lelaki berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Yahaya berkata, hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian Zaharif disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen.

Video insiden kemalangan berhampiran SMK Jati itu tular di media sosial memaparkan pelajar berkenaan yang cedera didakwa dilanggar sebuah kereta.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati poster mangsa ditampal pada penghadang tertera tulisan “Justice For Muhammad Zaharif Affendi” di sebuah tapak pembinaan bersebelahan Mahkamah Sesyen/Majistret Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.