
Sumber enggan dinamakan itu berkata, “kesilapan” Sivakumar kerana gagal membuang pegawai kementerian itu yang “tidak kompeten” dalam pentadbiran terdahulu, sekali gus menjejaskan reputasinya.
Kata sumber, terdapat juga rungutan daripada penyokong parti berkait prestasinya, namun tidak diperincikan.
Sivakumar bukan dalam senarai pendek bagi jawatan menteri sebelum ini, menurut sumber itu lagi.
“Pelantikannya (sebagai menteri sumber manusia) mengejutkan banyak pihak dalam DAP kerana kami diberitahu namanya tiada dalam senarai pendek parti.
“Jadi, pengguguran Sivakumar dan pelantikan Steven Sim sebagai menteri penuh sebenarnya sejajar senarai pendek asal.”
Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Sim, yang juga setiausaha organisasi DAP sebagai menteri sumber manusia. Sim sebelum ini adalah timbalan menteri kewangan.
Ketika dihubungi, Sivakumar enggan mengulas penggugurannya dalam Jemaah Menteri kerana beliau tidak melihat senarai pendek DAP tersebut.
Bukan luar biasa
Penganalisis politik, James Chin dan Oh Ei Sun berkata penyingkiran Sivakumar bukan tindakan luar biasa susulan kontroversi di sebalik pengambilan pekerja asing.
Mereka merujuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.
Siasatan itu membawa kepada penahanan, seterusnya pembebasan tiga pembantu Sivakumar. Sivakumar kemudian memecat lima pembantunya itu susulan siasatan berkenaan.
Bagaimanapun, Sivakumar bukan suspek dalam penyiasatan berkenaan dan Anwar juga ketika itu tidak melihat kepentingan baginya untuk “berehat sementara”.
Chin, dari University of Tasmania juga berkata pelantikan Sim sebagai menteri sumber manusia sudah dijangka.
“Sim layak dilantik kerana beliau sentiasa menunjukkan prestasi dan hakikatnya ada satu ketika dilihat sebagai bakal ketua menteri Pulau Pinang pada masa depan,” katanya.
Oh dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pelantikan Sim sebagai menteri penuh membuka peluang kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu melebarkan potensinya di Pulau Pinang pada masa depan.