Bukan kukuh pengaruh Zahid, kata Zambry berkait rombakan Kabinet

Bukan kukuh pengaruh Zahid, kata Zambry berkait rombakan Kabinet

Zambry Abd Kadir berkata perubahan portfolio dalam Jemaah Menteri ialah hak prerogatif perdana menteri.

Zambry Abd Kadir menegaskan, penstrukturan semula Jemaah Menteri ialah amalan biasa bagi memantapkan pentadbiran kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abd Kadir menafikan rombakan Jemaah Menteri bagi mengukuhkan kedudukan Zahid Hamidi dengan mengubah portfolio beberapa pemimpin kanan Umno.

Sebaliknya, tegas Zambry yang kini menteri pendidikan tinggi, perubahan portfolio ialah hak prerogatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Ia tidak ada kaitan (dengan BN), kerana kita perlu faham bahawa menjadi hak mutlak perdana menteri untuk membina pasukan (Jemaah Menterinya),” katanya kepada pemberita sempena hari pertamanya di Kementerian Pendidikan Tinggi menurut Harian Metro.

“Tentunya beliau sudah membuat penilaian yang terbaik untuk meneruskan (gerak kerja) dan juga respon yang beliau peroleh daripada rakyat, bagaimana beliau menyusun semula (Jemaah Menteri).”

Sebelum ini, timbul dakwaan rombakan Jemaah Menteri seperti diumumkan Anwar, Selasa lalu bertujuan melindungi pengaruh Zahid, yang juga presiden Umno.

Rombakan tersebut menyaksikan tiga pemimpin kanan Umno bertukar portfolio, termasuk Zambry yang sebelum ini menteri luar dan bekas menteri pendidikan tinggi Khaled Nordin yang beralih ke Kementerian Pertahanan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno Mohamed Hasan yang sebelum ini menerajui Kementerian Pertahanan mengambil alih tugas Zambry di Kementerian Luar.

Zambry berkata penstrukturan semula Jemaah Menteri ialah amalan biasa bagi memantapkan pentadbiran kerajaan, dan tiada kaitan dengan politik.

“Seperti mana disebut Perdana Menteri, tumpuan kita ialah apa yang perlu kita laksanakan, apa yang sudah beliau tetapkan kerana matlamat dalam kerajaan Madani ialah untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.