Ucapan ‘bukan Melayu jadi PM’, Kit Siang akan beri keterangan

Ucapan ‘bukan Melayu jadi PM’, Kit Siang akan beri keterangan

Veteran DAP itu berkata ucapannya di UK baru-baru ini bukan provokasi kerana tidak termaktub dalam Perlembagaan kaum minoriti tidak boleh menjadi PM.

Lim Kit Siang mempersoal adakah kandungan Perlembagaan sendiri dianggap ‘provokatif’ selepas enam dekad berkait pelantikan jawatan perdana menteri.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang akan memberi keterangan kepada polis berhubung ucapannya baru-baru ini yang menyentuh kemungkinan bukan Melayu dilantik sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataan, Lim berkata beliau dituduh membuat provokasi sedangkan Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang bukan Melayu menjadi perdana menteri.

“Tidak ada niat sebegini. Perlembagaan Malaysia ini bukanlah satu dokumen yang bersifat provokatif, sebaliknya ia perlu menjadi asas kepada perpaduan Malaysia,” katanya.

Dalam ucapan kepada pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) bulan lalu, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata beliau berharap Malaysia tidak perlu menunggu lama seperti Amerika Syarikat (AS) untuk mempunyai pemimpin daripada kalangan minoriti.

Lim merujuk kepada bekas presiden AS, Barack Obama yang dipilih menerajui negara itu selepas 230 tahun mencapai kemerdekaan.

Lim berkata, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mesti berkongsi impian sama dna bukan impian monoetnik. Bagaimanapun, beliau mengakui kemungkinan tiada bukan Melayu menjadi perdana menteri untuk tempoh 100 tahun akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Hasmuni Hassan antara mengkritik Lim dan berkata ucapannya mengguris perasaan orang Melayu.

“Mengapakah pada tahun 1957 dalam Perlembagaan Malaya dan kemudiannya pada tahun 1963 dalam Perlembagaan Malaysia, kenyataan yang mengatakan untuk seorang bukan Melayu menjadi seorang perdana menteri tidak dianggap sebagai satu perkara yang “provokatif”.

“Namun, enam dekad kemudian menjelaskan perkara yang ada dalam Perlembagaan ini kini dianggap ‘provokatif’?” kata Lim.

Minggu lalu, Lim mengesahkan polis memanggilnya bagi disoal siasat berkait ucapannya di UK.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.