Mahkamah Rayuan arah kerajaan serah laporan kehilangan aktivis Amri

Mahkamah Rayuan arah kerajaan serah laporan kehilangan aktivis Amri

Panel hakim berkata, Mahkamah Persekutuan memutuskan hakim boleh membaca dokumen diklasifikasikan sulit.

Mahkamah Rayuan berkata, hakim berhak membaca laporan pasukan petugas khas menyiasat kehilangan aktivis Amri Che Mat dan memutuskan sama ada dokumen itu boleh didedahkan kepada isterinya. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengarahkan kerajaan menyerahkan laporan pasukan petugas khas yang menyiasat kehilangan aktivis, Amri Che Mat kepada mahkamah.

Hakim Kamaludin Md Said yang mempengerusi panel tiga hakim bersama Azizul Azmi Adnan dan Hashim Hamzah, berkata mahkamah perlu meneliti laporan itu sebelum memutuskan sama ada kandungannya boleh membahayakan keselamatan negara, seperti didakwa kerajaan.

Kamaludin mengeluarkan arahan itu ketika rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan pendedahan terhad laporan itu kepada istari Amri, Norhayati Ariffin.

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan memutuskan mahkamah layak melihat dokumen sulit.

Azizul berkata, panel hakim boleh melihat dokumen itu menerusi kamera dalam kamar masing-masing.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili kerajaan, berkata laporan itu hanya boleh dilihat hakim, tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

Hanir berkata, laporan pasukan petugas khas itu kekal rahsia negara dan Mahkamah Tinggi terkhilaf dengan mengarahkan ia didedahkan, walaupun secara terhad.

Mahkamah Rayuan menetapkan 13 Dis ini untuk pengurusan kes.

Pada 9 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan mendedahkan laporan itu kepada Norhayati supaya peguamnya boleh menggunakan dokumen itu untuk memeriksa balas saksi dalam saman sivilnya terhadap polis dan kerajaan susulan kehilangan Amri.

Norhayati dan peguamnya dilarang mendedahkan dokumen itu kepada pihak ketiga.

Kerajaan kemudian merayu terhadap keputusan itu.

Peguam Surendra Ananth yang mewakili Norhayati hari ini memberitahu Mahkamah Rayuan, perbicaraan akan disambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Feb depan.

Kehilangan Amri, pengasas NGO Perlis Hope pada 2016 menyebabkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengadakan inkuiri awam antara 2017 dan 2019.

Pada 2021, Suhakam membuat kesimpulan Amri ialah mangsa kehilangan paksa oleh kerajaan, khasnya Cawangan Khas.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat penemuan Suhakam. Pasukan itu diberi enam bulan untuk menyiapkan laporannya.

KDN mahupun pasukan petugas tidak mendedahkan laporan itu, walaupun berkali-kali didesak berbuat demikian oleh pelbagai pihak, termasuk Suhakam dan NGO lain.

Pada Disember 2021, Norhayati memfailkan saman di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah supaya kerajaan menyahklasifikasikan laporan mengenai kehilangan suaminya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.