Pentaksiran bilik darjah tak berkesan nilai pelajar, kata ahli akademik

Pentaksiran bilik darjah tak berkesan nilai pelajar, kata ahli akademik

Penganalisis pendidikan Othman Talib berkata KPM sepatutnya belajar daripada negara lain untuk menerapkan pembelajaran dan penilaian dengan kaedah menyeronokkan.

Kerajaan memansuhkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun lalu, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) setahun sebelumnya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) perlu seiring pengenalan kaedah penilaian lebih berkesan, bukannya pentaksiran bilik darjah (PBD) yang didakwa tidak berkesan oleh ahli akademik.

Penganalisis pendidikan Othman Talib menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) sepatutnya memperkenalkan kaedah keseronokan dalam pembelajaran dan penilaian, bukannya tekanan sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ibu bapa dan murid.

Menurut Othman, antara individu menyokong silibus tanpa peperiksaan mendakwa KPM tergesa-gesa memansuhkan UPSR dan PT3 masing-masing pada 2021 serta 2022, tanpa menyediakan program gantian bagi menilai murid seperti diamalkan banyak negara maju.

“Kita menghapuskan PT3, tetapi kita masih membawa beban sistem lama (PBD) yang tidak berkesan,” katanya kepada FMT.

Ketika ini, sistem pendidikan Malaysia hanya mengekalkan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) untuk menilai murid sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Othman Talib.

Othman yang membuat kajian perbandingan sistem pendidikan di Malaysia dan antarabangsa berkata negara luar telah lama mengubah kaedah pembelajaran, termasuk menilai murid seperti di Singapura yang memperkenalkan sistem Kurangkan Mengajar, Lebihkan Belajar (TLLM).

Menurutnya, Estonia pula berjaya meningkatkan peratusan kecelikan huruf dengan memperkenalkan program Proge Tiger yang kini menerapkan unsur robotik sejak tadika hingga sekolah tinggi, seiring ledakan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia.

“Tapi kita dari tadika lagi sudah ada pemarkahan, akhirnya kita melihat bahawa itulah masa depan anak-anak. Akhirnya matlamat hala tuju pendidikan itu diletak kepada peperiksaan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan KPM mempelajari sistem dan silibus pendidikan awal di luar negara yang penuh dengan aktiviti praktikal, bukan membebankan murid dengan mata pelajaran banyak dan penanda aras tinggi.

“Saya tidak faham kenapa KPM tidak dapat mempelajari apa yang sebenarnya dilaksanakan di luar negara. Bayangkan anak kita belajar selama 11 tahun sampai SPM. Selepas SPM, sebahagian besar mereka seolah-olah tidak belajar (selama bersekolah).

“Sedangkan di luar negara, mereka tidak melihat pembelajaran itu terhenti setakat itu sahaja sebab (sistem pendidikan mereka menekankan aspek) kesediaan untuk menjadi warganegara yang baik pula,” jelas Othman.

“Saya pernah tanya ada berapa guru mengajar Tahun Satu? Ada sebelas orang (menunjukkan banyak mata pelajaran). Mana empati untuk anak-anak kita?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.