
Beliau berkata isu perpecahan tidak timbul berikutan kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih oleh perwakilan.
“Tiada isu mengenainya (perpecahan) kerana dalam kalangan 27 yang dipilih itu nanti yang akan memilih siapa yang layak untuk jadi presiden. Jadi tak ada yang peliklah kalau hendak melantik presiden dalam kalangan 27 orang itu, mengikut merit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak 2023.
Turut hadir pada konvensyen itu ialah Pengerusi Amanah negeri Asmuni Awi, Pengerusi PKR Perak Chang Lih Kang, Bendahari DAP Perak Howard Lee Chuan How dan Setiausaha Umno Perak Aminuddin Md Hanafiah.
Pada 5 Dis lepas, terdapat satu laporan media menyatakan seorang pemimpin utama Amanah tidak menafikan terdapat kelompok tertentu sedang mengatur gerakan menukar kepimpinan sedia ada dengan teraju baharu pada pemilihan parti akan datang.
Sementara itu, Mujahid yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata satu konvensyen membabitkan keseluruhan jentera kerajaan perpaduan akan diadakan pada 28 Dis ini dan perincian mengenai intipati serta lokasi penganjuran konvensyen itu akan diumumkan kelak.
Sementara itu di George Town, Pulau Pinang, Pengarah Strategi Amanah Zulkefly Ahmad berkata pemilihan parti harus dilihat dan dijalankan dalam satu persaingan yang sihat antara rakan-rakan dalam parti.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Pulau Pinang Zulkefly berkata proses untuk meremajakan Amanah memerlukan gadingan baharu dan lama untuk bersama-sama menguatkan parti.
Kepada soalan sama ada akan berlaku pertandingan bagi merebut jawatan presiden yang kini digalas Mohamad Sabu, Dzulkefly berkata sesiapa pun yang nak bertanding bagi apa sahaja jawatan termasuk di peringkat tertinggi perlu dijalankan secara sihat.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan kali ini, katanya beliau masih belum membuat keputusan.