HSR, LRT di Johor ambil kira faktor kewangan negara, kata Loke

HSR, LRT di Johor ambil kira faktor kewangan negara, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata kerajaan tiada masalah menyokong HSR namun ia mesti menerusi pembiayaan swasta.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kerajaan melanjutkan permintaan untuk maklumat bagi HSR hingga 15 Jan ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelaksanaan kemudahan pengangkutan awam seperti projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Transit Aliran Ringan (LRT) di Johor perlu mengambil kira pelbagai faktor terutamanya dari segi kewangan negara.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kerajaan tiada masalah menyokong pembangunan infrastruktur di negeri itu, namun perkara berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“…semua ini memang kita tak ada masalah untuk kita menyokong, cuma dari segi pelaksanaannya ia bukannya begitu mudah.

“Ia akan mengambil kira pelbagai faktor antaranya faktor kewangan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Johor 2023 di Kluang, menurut Bernama.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 pada 23 Nov yang berharap projek HSR dan LRT dilaksanakan segera bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan terutama dalam usaha menjadikan Johor destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Hari ini, dalam temu bual dengan The Sunday Times Singapura, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, baginda berharap projek tersebut dibuat jajaran semula supaya melintasi Forest City, pembangunan hartanah kontroversi di Selat Johor yang terdiri daripada empat pulau buatan seluas 30km persegi.

Mengenai perkembangan terkini HSR, Loke berkata, kementeriannya sedang melaksanakan permintaan untuk maklumat (RFI) bagi melihat cadangan daripada pihak swasta berkaitan pelaksanaan projek itu.

“Cuma dari segi kaedah pembiayaan HSR itu mesti berdasarkan kepada pembiayaan swasta sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak. Terpulang kepada pihak swasta. Jadi kita sedang menunggu kertas-kertas cadangan daripada pihak swasta,” kata Loke.

Sebelum ini, MyHSR Corporation Sdn Bhd dipetik sebagai berkata, tarikh akhir bagi penyerahan RFI bagi cadangan konsep projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dilanjutkan hingga 15 Jan 2024 dari tarikh asal pada 15 Nov 2023.

Berhubung LRT, Loke berkata, projek itu perlu perancangan dan perincian terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya.

“Sebab yang pertama adalah dari segi kosnya, diikuti jajaran termasuk teknikalnya, jadi ini akan dibincangkan lebih lanjut antara persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) akan menstruktur semula kadar tambang perkhidmatan tren Shuttle Tebrau di Johor Bahru ke Woodlands, Singapura, dengan kadar RM5 bagi dua hala khusus kepada rakyat Malaysia mulai tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.