Orang ramai diminta ‘beri ruang’ polis kesan suspek kes Zayn

Orang ramai diminta ‘beri ruang’ polis kesan suspek kes Zayn

Ketua polis Selangor meminta orang ramai tidak mengulas kes kematian Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

PETALING JAYA:
Polis meminta orang ramai tidak mengulas kes kematian Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengingatkan kes masih dalam siasatan, dan meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa mengesan suspek.

Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa komen-komen di media sosial menimbulkan kegusaran orang ramai, dan mengganggu emosi keluarga Zayn.

“Polis Selangor mengesan beberapa komen atau hantaran di laman media sosial TikTok.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen yang berkaitan kes yang masih dalam siasatan jenayah,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata Zayn, 6, yang ditemukan tidak bernyawa berdekatan sebatang anak sungai di Damansara Damai dipercayai meninggal dunia di tempat lain.

Polis merumuskan mayat kanak-kanak autisme itu diletakkan di tempat ia ditemui, berdasarkan siasatan setakat ini. Berdasarkan bedah siasat pula, polis berkata Zayn kemungkinan sudah meninggal dunia selama 48 jam.

Polis percaya suspek tahu kawasan itu, memandangkan tempat di mana Zayn ditemui bukan laluan harian orang ramai.

Zayn dilaporkan hilang sejak Selasa dan ditemui pada 10 malam, Rabu.

Peristiwa ini dikelaskan semula sebagai kes bunuh susulan bedah siasat, dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.