
Beliau menegaskan tiada sebarang penolakan permohonan direkodkan hanya kerana individu berkenaan gagal menguasai bahasa kebangsaan itu malah jumlah pasport yang dikeluarkan pada tahun ini mencecah 2.3 juta.
“Saya tidak pernah sebut bahasa Melayu menjadi syarat untuk dapatkan pasport. Takkan fakta semudah itu saya naif sehingga tak tahu,” katanya menurut Harian Metro selepas satu majlis di Perak.
“Kalau ada penolakan contohnya mereka pemegang pasport negara melakukan kesalahan di luar seperti tinggal lebih masa, apabila membuat permohonan semula pasport sudah semestinya ada semakan dan mungkin berakhir dengan tidak lulus. Tapi kerana bahasa Melayu..tiada.”
Terdahulu, LFL dilaporkan membidas Saifuddin kerana membela seorang pegawai imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Johor yang memarahi seorang wanita yang tidak fasih berbahasa Melayu semasa membuat permohonan pembaharuan pasport anaknya.
Saifuddin menegaskan adalah kewajipan selaku warganegara untuk menguasai bahasa Melayu selaras martabatnya sebagai bahasa rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara yang kita tekankan adalah setiap warganegara Malaysia apabila berurusan di kaunter kerajaan paling kurang boleh berbahasa Melayu.
“Baik LFL atau pihak lain, jangan putar belit sampai seolah-olah syarat permohonan adalah bahasa, padahal kita tak pernah ungkap. Saya anjurkan semua warganegara termasuk LFL utamakan dahulu bahasa Melayu,” katanya.