
Majlis Eksekutif Pemuda DAP berkata, pengiktirafan UEC berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Pakatan Harapan wajar berpegang teguh kepada komitmen asal dalam manifestonya untuk mengiktiraf sijil itu.
UEC diwujudkan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk menyediakan peperiksaan bersepadu selepas sekolah itu memilih keluar daripada kurikulum kebangsaan pada 1961 bagi mengekalkan pengajaran dalam bahasa Cina.
Ia tidak diiktiraf untuk kemasukan ke universiti awam. Namun, diterima bagi kemasukan ke universiti kendalian kerajaan Sabah dan Sarawak.
Pemuda DAP berkata, desakan pengiktirafan UEC bertujuan mengiktiraf sijil itu sebagai kelayakan akademik sah yang mempunyai kredibiliti di peringkat antarabangsa, sama seperti A-Level dan kelayakan antarabangsa lain supaya lepasan UEC boleh memohon ke universiti awam.
Tegasnya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bukan saja menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi turut menjamin hak rakyat menggunakan bahasa ibunda dan meletakkan asas kepada perkembangan sistem pendidikan pelbagai aliran.
Katanya, ini turut menjadi asas perundangan yang membolehkan sekolah persendirian Cina beroperasi secara sah selepas negara mencapai kemerdekaan dan Dong Zong menyokong cadangan menjadikan kelulusan subjek Bahasa Melayu dalam SPM sebagai syarat tambahan pengiktirafan UEC.
“Cadangan ini jelas menunjukkan Dong Zong yang menguruskan sekolah persendirian Cina menghormati kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Maka, sebarang dakwaan pengiktirafan sijil UEC mencabar kedudukan Bahasa Melayu tidak benar dan bersifat politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pendukung bahasa lain perlu ingat kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan, selain Perlembagaan serta status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dikompromi.
Kenyataannya itu selepas Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, partinya bercadang menemui Anwar bagi membincangkan pengiktirafan UEC, yang kemudian dikritik Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan pihak lain.
Dong Zong: Dakwaan iktiraf UEC bercanggah Perlembagaan tak berasas
Dong Zong dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya sentiasa menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan menyokong dasar kerajaan memperkukuh penguasaan pelbagai bahasa dalam kalangan rakyat.
Katanya, dakwaan pengiktirafan UEC bercanggah Perlembagaan Persekutuan tidak berasas dan mengelirukan, selain Anwar pada 2018 secara terbuka berkata, pengiktirafan UEC tidak menjejaskan dasar pendidikan kebangsaan dan tidak akan melemahkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ia turut mendapati tiada cabaran undang-undang atas alasan bercanggah Perlembagaan selepas kerajaan Sarawak dan Sabah mengiktiraf UEC secara rasmi.
“Dong Zong ingin menegaskan tuntutan pengiktirafan UEC tidak pernah bercanggah dasar pendidikan kebangsaan dan sama sekali tidak menjejaskan kedudukan sah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Bahasa Melayu ialah subjek wajib dalam kurikulum UEC di sekolah persendirian Cina. Tambahan, kadar kelulusan pelajar dalam subjek Bahasa Melayu SPM secara konsisten melebihi 96% beberapa tahun ini.
“Ia mencapai 97.38% pada 2022, 97.11% pada 2023 dan 96.65% tahun lalu.”
Dong Zong menggesa semua pihak melihat isu itu secara terbuka dan saling menghormati.
Katanya, pengiktirafan UEC akan memajukan sistem pendidikan negara bagi membolehkan pelajar pelbagai aliran pendidikan merealisasikan potensi mereka, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.