
Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, dalam kenyataan berkata prosiding itu akan berlangsung selama dua minggu hingga 22 Dis.
“Kes berkenaan didengar di Mahkamah Tinggi Ipoh di hadapan Hakim Abdul Wahab Mohamed,” katanya.
Selaku responden, Hilman berkata beliau melantik tujuh peguam diketuai bekas pesuruhjaya kehakiman, Awg Armadajaya Awg Mahmud.
Peguam lain termasuk Hasshahari Johari Mawi, Mohd Radzlan Jalaludin, Mohd Tajuddin Abd Razak, Muhamad Hafizan Shafuan Kamarulzaman, Shahir Ab Razak dan Wan Rohimi Wan Daud.
Pada PRN Selangor Ogos lalu, kerusi DUN Gombak Setia dimenangi Hilman dengan majoriti tipis sebanyak 58 undi.
Beliau memperoleh 30,299 undi menewaskan dua pencabar lain iaitu Megat Zulkarnain Omardin (BN) dengan 30,241 undi manakala calon bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali dengan 1,076 undi.
Megat Zulkarnain sebelum ini memaklumkan pihaknya mempertimbangkan untuk mengemukakan petisyen bagi membantah keputusan PRN DUN Gombak Setia.
Gombak Setia adalah satu daripada empat DUN yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) kalah tipis dalam PRN lalu.
Selain DUN berkenaan, kerusi lain turut menyaksikan PH kalah tipis ialah Dengkil (407 undi), Sungai Kandis (167), dan Taman Medan (30).