Arahan kembali ke pejabat jejas pengekalan pekerja

Arahan kembali ke pejabat jejas pengekalan pekerja

Persatuan Majikan-Majikan Malaysia berkata timbul konflik antara kehendak majikan dan pekerja terutama dari segi fleksibiliti.

Banyak syarikat meminta pekerja kembali ke pejabat selepas penamatan sekatan pergerakan ketika pandemik Covid-19. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Arahan kembali ke pejabat selepas bertahun bekerja di luar susulan pandemik Covid-19 membawa masalah pengekalan tenaga kerja, menurut organisasi penaung majikan sektor swasta.

Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan-Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan, berkata penamatan sekatan pergerakan meningkatkan permintaan bekerja di pejabat, seterusnya menimbulkan konflik antara kehendak majikan dan pekerja, khususnya belia berkehendak aturan kerja lebih fleksibel.

“Golongan muda resah dan tidak mahu kekal di satu tempat kerja untuk tempoh lama, jadi mereka kerap bertukar majikan sehingga mendapat sesuatu yang memenuhi kehendak mereka dari segi fleksibiliti,” katanya.

Bercakap kepada FMT ketika Persidangan Perhubungan Industri 2023 MEF, beliau berkata adalah penting bagi syarikat untuk mengekalkan kumpulan pekerja itu.

“Merekalah bakat masa depan. Jika tidak dapat mengekalkan pekerja belia yang mencari fleksibiliti, ini akan mengakibatkan kelopongan dalam pembangunan bakat,” katanya.

Shamsuddin berkata, sektor terjejas akibat masalah pengekalan bakat ini meliputi bidang peruncitan, perhotelan, restoran, teknologi maklumat dan komunikasi, pendidikan swasta, pembuatan, dan perkhidmatan profesional.

Beliau mencadangkan syarikat mencari cara mengikis rasa kurang percaya dan memenuhi tuntutan pekerja, manakala pekerja membuktikan tahap prestasi mereka tidak terjejas akibat aturan kerja seperti itu.

Shamsuddin berkata, mengimbangi tuntutan kedua-dua pihak penting bagi memastikan tahap produktiviti negara kekal berdaya saing.

Aturan kerja fleksibel semakin meluas di Malaysia, menunjukkan peralihan paradigma struktur kerja tradisional. Aturan kerja seumpama ini meliputi pelbagai pendekatan seperti bekerja dari luar pejabat, waktu kerja fleksibel, dan waktu kerja termampat.

Amalan bekerja dari luar pejabat turut melihat peningkatan ketara, khususnya susulan pandemik Covid-19 yang melihat banyak negara mengumumkan sekatan pergerakan bagi memperlahankan penularan virus.

Menurut laporan Adobe’s 2021 Future of Time, 44% pekerja di seluruh dunia diberi sedikit fleksibiliti kerja, manakala 23% pula mendapat fleksibiliti penuh, dan 33% tiada langsung.

Seorang pengurus kanan hubungan majikan dan kesaksamaan yang hanya mahu dikenali sebagai Edwin, berkata syarikatnya menyesuaikan diri dengan baik dari segi pendekatan kerja fleksibel.

Katanya, cara kerja fleksibel memberikan keseimbangan pekerjaan dan kehidupan, serta meredakan kemalangan jalan raya apabila mengurangkan keperluan pergi ke pejabat, selain memberi penjimatan kos.

“Kami telah menyesuaikan diri dan ini memberikan fleksibiliti kepada pekerja untuk bekerja secara produktif,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.