Tipu pelaburan lebih RM11 juta, pengarah syarikat ditahan

Tipu pelaburan lebih RM11 juta, pengarah syarikat ditahan

Suspek berusia 57 tahun itu ditahan semasa hadir memberikan keterangan di IPD Kota Setar semalam.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kota Setar Syed Basri Syed Ali, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pengarah syarikat semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan lebih RM11 juta sejak beberapa tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali, berkata suspek berusia 57 tahun itu ditahan semasa hadir memberikan keterangan di IPD Kota Setar pada 4.30 petang.

Katanya, pengarah syarikat pelaburan itu dipercayai memiliki sembilan cawangan antaranya di Perlis, Kedah, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak dan Melaka.

“Bagaimanapun, semakan mendapati syarikat tersebut tidak memiliki sebarang kebenaran atau kelulusan dari Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya menurut Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 80 mangsa penipuan skim pelaburan menggesa pihak polis mengambil tindakan segera terhadap sebuah syarikat pelaburan kerana memperdaya dan menyebabkan mereka mengalami kerugian lebih RM11 juta.

Semua mangsa hadir mengadakan pertemuan tertutup bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ramli Mohamed Yoosuf berhubung kes tersebut.

Ramli mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima lebih 80 laporan berhubung perkara berkenaan.

Selain itu, Syed Basri berkata siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.