Ketua isi rumah miskin tegar di Perak kurang 51%

Ketua isi rumah miskin tegar di Perak kurang 51%

Menurut Menteri Besar Saarani Mohamad, penurunan ini susulan program kesejahteraan rakyat yang diadakan di seluruh negeri.

Saarani Mohamad memberitahu DUN Perak hari ini, bilangan ketua isi rumah miskin tegar di negeri itu berkurangan daripada 9,402 kepada 4,819 setakat 18 Nov lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bilangan ketua isi rumah miskin tegar di Perak berkurangan daripada 9,402 kepada 4,819 setakat 18 Nov lepas, menunjukkan penurunan sebanyak 51%, menurut menteri besar.

Saarani Mohamad memberitahu sidang DUN hari ini, penurunan itu susulan program kesejahteraan rakyat yang diadakan di seluruh negeri, menyantuni golongan sasar berkenaan.

“Lebih 100 program kesejahteraan rakyat di seluruh Perak telah diadakan dalam menyantuni golongan sasar ini dengan bantuan jabatan dan agensi pemberi bantuan,” katanya pada sesi soal jawab, lapor Bernama.

“(Ini termasuk) program pasukan petugas bergerak, program keusahawanan, kursus kemahiran, bantuan perniagaan, baik pulih atau bina baharu rumah dan sebagainya, bagi memastikan golongan ini dibantu keluar daripada kumpulan miskin tegar.

Saarani (BN-Kota Tampan) menjawab soalan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (PN-Chenderoh) tentang peranan kerajaan negeri dalam menyokong kerajaan persekutuan dalam usaha menoktah kemiskinan di Malaysia menjelang 2024.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri juga giat mengumpul nama mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar di setiap daerah untuk dimohon penyertaan mereka ke dalam program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bawah Kementerian Ekonomi.

Beliau berkata, peserta akan ditemuduga bagi mendapatkan maklum balas jenis bantuan ingin dipohon dan akan diluluskan mengikut kelayakan.

Garis panduan pelaksanaan program pula akan dipantau keberhasilannya oleh pegawai lapangan IPR yang ditempatkan di setiap daerah, tambahnya.

“Bagi pelaksanaan projek rintis program ini, ia telah mula menunjukkan hasil, iaitu terdapat peserta telah keluar daripada golongan miskin tegar eKasih dengan memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 maksimum sebulan, berbanding pendapatan awalan minimum sebulan sebelum ini hanyalah RM500.

“Selain itu, pelbagai jenis bantuan yang mula diberikan kepada mereka ini juga telah menunjukkan bibit-bibit keberhasilan menerusi pola peningkatan pendapatan bulanan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.