
Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Dr Christopher Lee mengimbau pertemuan pertamanya dengan Chua ketika memberi taklimat kepada menteri kesihatan itu tentang ubat HIV terkini pada masa itu, perencat protease.
Lee berkata Chua prihatin sepanjang taklimat dan terus membantu menambah peruntukan kerajaan untuk merawat pesakit HIV.
“Dia mendengar dan mengambil nota. Dia menaikkan belanjawan rawatan HIV ketika itu untuk mendapatkan lebih ramai pesakit ke terapi. Untuk itu, saya bersyukur,” katanya dalam di aplikasi X.
Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata beliau sering membincangkan dasar dan pembaharuan dengan Chua, dan sering terserempak dengan bekas Ahli Parlimen Bakri lima penggal itu walaupun selepas beliau tidak lagi berpolitik.
“Dia seorang yang baik dan mulia dan akan dirindui,” kata wakil rakyat PKR itu di Facebook.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengucapkan takziah kepada keluarga Chua atas pemergiannya, dan memberi penghormatan kepada sembilan tahun beliau menerajui Kementerian Kesihatan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut memberi penghormatan kepada bekas naib presiden MCA itu di Facebook, menyifatkan beliau sebagai “seorang lelaki yang baik, taat kepada Tuhan dan keluarga”.
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Dr Mah Hang Soon berkata Chua rakan rapat dan banyak menyumbang kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dan negara.
“Takziah kepada keluarganya dalam masa sukar ini,” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran berkata Chua, yang meninggalkan MCA pada 2009 untuk menyertai PKR, memainkan peranan penting dalam membawanya ke gelanggang politik. Dia mengimbau ketika dia berkhidmat sebagai setiausaha kerja Chua pada 2012 ketika memimpin PKR Johor.
“Beliau banyak menyumbang kepada Kementerian Kesihatan dan politik negara,” katanya di Facebook.
Chua menteri kesihatan selama sembilan tahun, dari 1995 hingga 2004 dan diketahui mempunyai pengaruh yang luas di Johor. Beliau bersama MCA selama 35 tahun sebelum menyertai PKR.