
Beliau turut menggesa orang ramai lebih berwaspada susulan keadaan cuaca panas melampau ketika ini serta mengawasi tanda awal strok haba supaya dapat mengambil langkah pencegahan segera.
“Cuaca panas melampau sekarang menuntut kita untuk lebih peka.
“Sila awasi tanda-tanda awal strok haba seperti pening berpanjangan, rasa dahaga yang luar biasa, dan suhu badan yang semakin meningkat.
“Sekiranya ada tanda-tanda ini, amalkan langkah-langkah pencegahan segera dengan mencari tempat yang teduh, banyakkan minum air kosong, dan sejukkan badan dengan segera,” katanya di Facebook.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menekankan aspek keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak.
“Jangan sesekali tinggalkan anak-anak atau sesiapa sahaja di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun untuk seminit,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan status cuaca panas di Padang Terap, Kedah berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius.
Sebanyak 14 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu (berjaga-jaga), termasuk seluruh Perlis dan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah.