
Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan, berkata arahan pertuduhan terhadap remaja itu dikeluarkan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan, menurut Berita Harian.
Dalam kejadian sekitar 6 petang itu, remaja lelaki yang menaiki perkhidmatan itu dikatakan mengacu pisau di dada kiri pemandu berusia 65 tahun itu selepas tidak tahan dimaki ketika mengambil semula wang tambang.
Bagaimanapun, pemandu itu sempat merampas pisau dan menggigit tangan remaja terbabit untuk mempertahankan diri sebelum suspek melarikan diri.
Namun, remaja itu ditahan polis 10 malam, susulan laporan dibuat warga emas itu pada 8 malam, hari kejadian.
Dalam pada itu, seorang lelaki warga Nepal berusia 26 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Gurun, esok atas pertuduhan melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari penjagaan sah di Pekan Jeniang, Ahad lalu.
Zaidy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Dalam kejadian itu, suspek dikatakan cuba melarikan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di hadapan sebuah kedai roti canai di Pekan Jeniang, Gurun namun gagal apabila dia ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis, 7.20 pagi.
Suspek kemudian meluru ke arah mangsa dan mendukungnya sebelum mengundur beberapa langkah sambil mengacukan pisau ke arah leher kanak-kanak terbabit.