
Sebelum ini, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata pengundi bukan Melayu mungkin akan menarik sokongan daripada kerajaan kerana mendakwa gagal menangani isu ekonomi.
Ahli Parlimen Machang itu, berkata kegagalan kerajaan menangani isu rakyat akan menyebabkan pengundi bukan Melayu secara tradisi memihak Pakatan Harapan (PH) beralih kepada PN, terutama orang Cina.
Bagaimanapun, James Chin dari University of Tasmania, berkata kebimbangan pelaksanaan undang-undang shariah antara faktor signifikan mengekang undi bukan Melayu.
“Bukan Melayu sangat takut kepada PAS,” katanya kepada FMT.
“Mereka takut undang-undang Islam kerana PAS secara jelas menyatakan undang-undang itu akan diperkenal terlebih dulu kepada Muslim – dan lambat laun, semua akan terkesan sama ada anda Muslim atau tidak.”
Chin juga merujuk keputusan tidak memberangsangkan parti komponen PN berbilang kaum, Gerakan yang hilang deposit di semua kerusi ditandingi pada PRU lalu.
“Ini jelas memaparkan bukan Muslim mempunyai ketakutan signifikan terhadap PAS.
“Tidak kira sejauh mana mereka (bukan Melayu) kecewa kepada Anwar, mereka tidak akan mengundi PN. Lebih baik tidak keluar mengundi,” katanya.
Jika Anwar Ibrahim mahu terus mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu, beliau berkata perdana menteri perlu membawa hala tuju negara ke arah kesederhanaan, melibatkan dasar dan pentadbiran.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura bersetuju pengundi Cina tidak akan menyokong PN kerana beranggapan PAS sebagai ‘ekstrem’.
“Mungkin matahari perlu terbit dari Barat sebelum pengundi Cina menyokong PAS,” katanya.
Biarpun apa jua rasa tidak puas hati kepada Anwar dan dasarnya, Oh berkata, pengerusi PH itu kekal menjadi satu-satunya pilihan munasabah.