Wahab sahkan individu dipanggil polis ialah ‘Mr H’, kata peguam

Wahab sahkan individu dipanggil polis ialah ‘Mr H’, kata peguam

Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan individu dikenali sebagai 'Mr H' selesai memberi keterangan pada 23 Nov lalu.

Peguam Faizal Rahman berkata pengesahan itu dibuat Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani ketika rakaman percakapan dengan polis hari ini.
PETALING JAYA:
Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, mengesahkan “Mr H” yang mengupahnya merakam video tular dengan bekas ketua pengarahnya, Mohammad Agus Yusoff adalah individu sama dipanggil polis.

Peguamnya, Faizal Rahman, berkata pengesahan itu dibuat Wahab, yang hadir sebagai saksi, ketika rakaman percakapan dengan polis bagi membantu siasatan kes itu.

“Hari ini, kita mengesahkan individu (yang didakwa ‘Mr H’) yang dipanggil polis sebelum ini (adalah) orang sama.

“Pihak polis sebut sebelum ini Wahab cuma perlu tampil dan memberi pengesahan identiti ‘Mr H’ dan ia dah dipenuhi,” katanya menurut Sinar Harian di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Mengenai identiti “Mr H”, beliau mengesahkan pegawai itu masih bertugas di J-Kom.

Wahab dilaporkan tiba di Bukit Aman kira-kira 11 pagi dan selesai memberi keterangan pada 2.30 petang tadi.

Pada 20 Nov lalu, Agus dan Wahab dalam sidang media khas mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sudah disunting, dengan Wahab mendakwa diarahkan individu bernama “Mr H” untuk merakam video perbualannya bersama Agus.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan mengesahkan individu dikenali sebagai “Mr H” selesai memberi keterangan pada 23 Nov lalu.

Faizal berkata, keadaan Wahab yang kemurungan sebelum ini sudah stabil sedikit, tetapi masih memerlukan bantuan.

Katanya, Wahab akan membuat laporan polis terhadap “Mr H” dalam masa terdekat.

“Wahab akan buat laporan polis sama ada esok atau lusa, tidak dijangka di (balai polis) mana, namun dijamin (kes ini) akan selesaikan secepat mungkin.

“Dia masih dalam ketakutan, tetapi keadaannya stabil.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.