Arkib Komuniti nadi pengukuhan identiti masyarakat

Arkib Komuniti nadi pengukuhan identiti masyarakat

Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara melancarkan Arkib Komuniti dalam usaha memelihara warisan sejarah Malaysia.

Shamsuri Suradi menunjukkan sebahagian dokumen bersejarah Kampung Baru.
PETALING JAYA:
Arkib Komuniti kini menjadi nadi pengukuhan identiti masyarakat setempat khususnya di kawasan bersejarah, dengan penduduk memainkan peranan aktif mengumpul rekod dan barangan lama bagi memelihara budaya serta warisan asal-usul mereka.

Setiausaha Agung Komuniti Kampung Baru, Shamsuri Suradi, berkata usaha itu adalah langkah penting mengembalikan ‘roh’ satu-satunya penempatan Melayu di tengah ibu kota dan menjadi saksi pelbagai peristiwa penting negara.

“Generasi hari ini melihat Kampung Baru hanya sebagai ‘syurga makanan’, destinasi wajib pengunjung yang mahu menikmati pelbagai hidangan.

“Tapi Kampung Baru bukan sekadar itu. Di sinilah titik awal kemerdekaan bermula, perkembangan ekonomi Melayu dan juga sejarah hitam 13 Mei (1969) direkodkan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, melalui kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM) bawah Kementerian Perpaduan Negara, masyarakat dapat mengumpul dan memelihara koleksi
sejarah dengan lebih teratur dan bersistem.

Program Arkib Komuniti dilancarkan pada 17 Mei lalu oleh Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, bertujuan memasyarakatkan arkib dengan memperkukuh peranan rakyat dalam menjaga warisan dan sejarah negara.

Buku pendaftaran penduduk asal Kampung Baru menyenaraikan butiran pemilik tanah di situ.

Di Kampung Baru, antara koleksi berjaya dikesan setakat ini adalah dokumen asal sejak 1900 termasuk buku pendaftaran penduduk, salasilah enam generasi keluarga dari Kepulauan Riau, minit mesyuarat, peta lama, foto, dan beberapa artifak.

Shamsuri, yang 19 tahun mendedikasikan diri sebagai setiausaha kehormat Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) mengakui cabaran terbesar sebelum ini adalah kekurangan pengetahuan mengenai kaedah penyimpanan yang betul.

“Dulu, kami ingat cukup sekadar simpan dalam bilik supaya tidak rosak. Tapi bila diperiksa semula, ada dokumen yang hancur dimakan serangga.

“Kemudian kami cuba ‘laminate’, tetapi kertas tahun 20-an, 30-an bila dilapisi plastik sebenarnya boleh menjejaskan keasliannya,” katanya menyifatkan Arkib Negara sebagai ‘bantuan’ yang datang tepat pada waktunya.

Mazura Rohani
Mazura Rohani.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perolehan Arkib Persendirian di ANM, Mazura Rohani, berkata pihaknya memperkenalkan ‘Kit Arkib Komuniti’ sebagai panduan untuk membantu masyarakat mendokumentasikan koleksi dengan betul dan selamat.

Katanya, setakat ini ANM mengumpul lebih 300,000 bahan persendirian disumbangkan individu dan persatuan sekali gus mencerminkan betapa kaya identiti setempat yang direkod melalui inisiatif masyarakat.

“Semua maklumat ini turut boleh diakses melalui platform digital seperti Compass (Computerised Archival System and Services) dan Online Finding Aid, sekali gus membolehkan generasi masa depan menelusuri sejarah komuniti dengan lebih mudah, pantas dan menyeluruh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.