KDN rangka RUU jaga kebajikan pesara, bekas pegawai polis

KDN rangka RUU jaga kebajikan pesara, bekas pegawai polis

RUU itu bagi mengawal selia aspek kebajikan pesara dan bekas pegawai polis menerusi satu entiti secara lebih teratur.

Shamsul Anuar Nasarah berkata, RUU itu masih di peringkat penelitian pegawai undang-undang KDN dan sesi libat urus dijangka dilaksanakan tahun depan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka rang undang-undang (RUU) bagi mengawal selia aspek kebajikan pesara dan bekas pegawai polis menerusi satu entiti secara lebih teratur.

Timbalan Menterinya, Shamsul Anuar Nasarah, berkata RUU itu masih di peringkat penelitian pegawai undang-undang KDN dan sesi libat urus dijangka dilaksanakan tahun depan, sebelum dibawa ke Jemaah Menteri dan seterusnya dibentang di Parlimen.

“RUU pesara dan bekas pegawai polis ini dijadikan punca kuasa untuk antaranya perkara berkaitan pendaftaran pesara dan bekas pegawai polis, sebagai mengawal persatuan pesara dan bekas pegawai polis serta menjadi punca kuasa untuk menjaga kebajikan mereka, ini yang penting,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) sama ada KDN dan polis mempunyai perancangan mewujudkan undang-undang bagi pesara polis seperti Akta Veteran 2012 bagi menjaga kebajikan veteran tentera.

Shamsul Anuar berkata ia juga dapat menjamin penyaluran peruntukan bantuan kepada pesara dan bekas pegawai polis supaya lebih teratur dan berkesan berbanding situasi semasa.

Menjawab soalan asal Shamsulkahar mengenai pecahan penerima bantuan bagi pesara dan bekas pegawai polis, katanya sejak 2014 hingga 2022, sejumlah 13,864 permohonan bantuan diluluskan dengan implikasi kewangan kira-kira RM19 juta.

Beliau berkata 1,595 permohonan atau kira-kira RM1.29 juta pula akan dibayar tahun ini.

Katanya bantuan yang disalurkan melalui Tabung Amanah Warisan Polis adalah khairat kematian, bantuan perubatan, bantuan pergerakan dan pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.