
Rajivan Nambiar, yang mewakili Rosmah selaku peguam berkata, Hakim Ong Chee Kwan menolak permohonan Global Royalty Trading SAL dengan kos sebanyak RM7,500.
“Mahkamah memutuskan bahawa ini bukan kes yang sesuai dan wajar untuk membuat penghakiman terus kerana terdapat isu yang perlu dibangkitkan semasa perbicaraan,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding dalam talian.
Penghakiman terus ialah permohonan yang difailkan pihak yang membuat tuntutan di mahkamah untuk mendapatkan penghakiman tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terbabit atau undang-undang tidak dipertikaikan.
Rajivan berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu untuk jaminan kos terhadap syarikat itu dengan kos RM5,000.
“Jaminan untuk kos ditetapkan pada RM75,000 dengan kebebasan untuk memohon mengubah jumlah sebelum perbicaraan sebaik sahaja pihak bertukar dokumen atau sekiranya pakar dipanggil.
“Kos RM75,000 perlu dibayar oleh Global Royalty kepada mahkamah dalam tempoh sebulan dari hari ini,” kata Rajivan, yang dibantu peguam Mohd Reza Rahim.
Rajivan berkata, permohonan Rosmah untuk prosiding pihak ketiga terhadap polis dan kerajaan Malaysia telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 14 Dis.
Sementara itu, David Gurupatham yang mewakili Global Royalty, iaitu plaintif, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.
Pada 29 Mac lepas, Global Royalty menyaman Rosmah, 71, mendakwa wanita itu berbohong dengan menyatakan bahawa 44 unit barang kemas telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Barang kemas itu termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepada Rosmah untuk dipilih.
Menurut syarikat itu, hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, manakala baki 43 barang kemas tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa.
Global Royalty juga mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.
Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan 44 unit barangan kemas itu atau membayar harga bagi semua barangan kemas berkenaan, berjumlah USD14.79 juta. Bagaimanapun, saman itu ditarik balik pada 2019.