Keputusan rayuan Isa Samad 31 Jan depan

Keputusan rayuan Isa Samad 31 Jan depan

Isa Samad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan memfailkan notis rayuan pada 4 Feb 2021.

Isa Samad, 73, telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 terhadap sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda. (Gambar bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 31 Jan untuk menyampaikan keputusannya dalam rayuan yang dikemukakan oleh bekas Pengerusi Felda Isa Samad terhadap sabitan, hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta bagi kesalahan rasuah.

Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Huda Humaira Idris.

Seorang daripada peguam yang mewakili Isa, Siti Sarah Khalil dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang mewakili pendakwaan mengesahkan tarikh keputusan baharu itu ketika dihubungi Bernama.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Zaidi Ibrahim dan S M Komathy Suppiah pada mulanya dijadualkan menyampaikan keputusan mereka berhubung rayuan Isa hari ini.

Bagaimanapun, Siti Sarah berkata pasukan pembelaan menerima notis daripada mahkamah yang memaklumkan mereka bahawa tarikh keputusan telah dilapangkan dan digantikan dengan pengurusan kes hari ini.

Pada 14 Okt lepas, panel itu menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan pembelaan dan pendakwaan.

Isa, 73, telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 terhadap sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC, di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan tempoh pemenjaraan keseluruhan 54 tahun dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dan ini bermakna Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman itu selama enam tahun.

Isa, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, memfailkan notis rayuan pada 4 Feb 2021.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1.5 juta dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan kes itu selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.