Wakil rakyat PKR tegur pembahas lebih puji PM di kongres

Wakil rakyat PKR tegur pembahas lebih puji PM di kongres

Ahli Parlimen Hassan Karim berkata ramai pembahas di kongres PKR tidak kupas lebih lanjut isu ekonomi, yang disentuh Presiden Anwar Ibrahim dalam ucapan dasarnya.

Ahli Parlimen Hassan Karim berkata ramai pembahas di kongres PKR masih dalam budaya memuji-muji presiden sendiri.
PUTRAJAYA:
Seorang wakil rakyat PKR mengkritik perbahasan beberapa perwakilan dalam kongres partinya yang dilihat lebih kepada memuji-muji Presiden Anwar Ibrahim, namun tidak berani membahaskan isu rakyat secara terus-terang.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim hampa ramai pembahas tidak menyambung kupasan Anwar tentang ekonomi dan subsidi dalam ucapan dasar presiden semalam.

“Isu kepentingan rakyat bawahan tidak dikupas lebih lanjut dengan berani dan terus-terang oleh pembahas-pembahas dari negeri-negeri yang merupakan pemimpin PKR di akar umbi.

“Lebih banyak yang masih dalam budaya memuji-muji presiden parti sendiri,” katanya kepada FMT.

Malah, katanya, sepanjang berada di perhimpunan di Putrajaya itu, tiada pembahas menyentuh kaji selidik Merdeka Center berhubung kadar penilaian kelulusan Anwar sebagai perdana menteri merosot kepada 50% daripada 68% pada Dis 2022.

“Dapatan kaji selidik ini diperolehi ketika Anwar genap setahun menjadi perdana menteri.

“Isu ekonomi sama ada pada landasan yang betul atau tidak dan kos sara hidup yang tinggi yang begitu penting kepada rakyat jelata, hampir tidak disentuh oleh pembahas-pembahas,” katanya.

Menyentuh ucapan dasar Anwar dan juga ucapan perasmian oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pula, Hasan menyifatkan pengisiannya kelihatan defensif.

“Kedua-duanya bercakap tentang perlu kekalkan idealisme. Deklarasi Permatang Pauh disebut.

“Ini reaksi defensif kerana teguran masyarakat umum bahawa PKR yang mengetuai kerajaan perpaduan telah banyak melupai idealisme reformasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.