Peja gesa pemimpin Bersatu terus taat kepada Muhyiddin

Peja gesa pemimpin Bersatu terus taat kepada Muhyiddin

Ahmad Faizal Azumu berkata demikian susulan kenyataan Muhyiddin Yassin beliau sedang melatih orang baru untuk memimpin Bersatu.

Ahmad Faizal Azumu berkata penting semua pemimpin bekerjasama dan memberi ketaatsetiaan padu kepada presiden Bersatu.
SHAH ALAM:
Barisan kepimpinan Bersatu perlu menzahirkan taat setia yang jitu terhadap Presiden Muhyiddin Yassin, kata Ahmad Faizal Azumu di sebalik ura-ura berlaku peralihan kuasa dalam parti.

“Yang penting semua pemimpin bekerjasama dan memberi ketaatsetiaan yang cukup kuat, cukup padu kepada presiden. Itu penting,” kata timbalan presiden Bersatu selepas merasmikan persidangan sayap Pemuda dan Wanita.

Baru-baru ini, Muhyiddin berkata beliau sedang melatih orang baru untuk memimpin Bersatu, merujuk kepada Setiausaha Agung Hamzah Zainudin yang kini menggalas tanggungjawab ketua pembangkang.

Mengikut kelaziman, jawatan ketua pembangkang disandang ketua parti atau gabungan politik contohnya Anwar Ibrahim yang memegang status itu kerana mengetuai Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan pada 2008 serta 2020.

Mengulas perkara itu, Faizal yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun berkata Hamzah bukan saja pemimpin masa depan, tetapi pemimpin masa kini.

Bagaimanapun, beliau berpendapat selain Ahli Parlimen Larut itu, Bersatu juga mempunyai pemimpin berwibawa lain seperti Naib Presiden Ronald Kiandee dan Radzi Jidin.

“Ini semua mampu satu hari ini ambil alih tampuk pimpinan dalam Bersatu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.