Wajib caruman Perkeso pekerja gig, kerajaan diberitahu

Wajib caruman Perkeso pekerja gig, kerajaan diberitahu

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata tindakan itu akan memberikan perlindungan untuk pekerja gig dalam pada sektor berkenaan terus berkembang.

Buat masa ini hanya pekerja gig dalam sektor e-panggilan dan p-panggilan diwajibkan mencarum skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan digesa mempertimbangkan untuk mewajibkan caruman kepada skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi semua jenis pekerja gig.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berkata mewajibkan caruman akan memberikan perlindungan sosial bagi pekerja gig dalam pada sektor itu terus berkembang.

Buat masa ini, hanya pekerja gig dalam sektor e-panggilan dan p-panggilan diwajibkan mencarum untuk skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri Perkeso.

Shamsuddin berkata, walaupun ekonomi gig dijangka meliputi 50% tenaga kerja menjelang 2030, hanya kira-kira 550,000 pekerja gig di Malaysia membuat caruman Perkeso daripada 4.6 juta pekerja.

“Kebanyakannya (pekerja gig) tidak mencarum dalam skim Perkeso ini.

“Saya ingin mencadangkan pihak berkuasa dan pemegang taruh mengumumkan penyedia platform tidak boleh mengambil pekerja gig jika tidak berdaftar dengan skim perlindungan Perkeso,” katanya ketika perbincangan panel “Future in Gig Employment MEF”.

Beliau turut mencadangkan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilanjutkan untuk kontraktor bebas, dan supaya kerajaan menyediakan pendidikan kewangan untuk pekerja gig.

Pada Mac Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata 162 amaran dikeluarkan kepada pekerja gig setakat 31 Jan kerana gagal mendaftar untuk skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri.

Katanya, 108,237 orang didaftarkan bawah skim itu termasuk 45,568 atau 42.1% dalam industri e-panggilan.

Sementara itu, wakil kesatuan sekerja Effendy Abdul Ghani mencadangkan undang-undang baharu diwujudkan untuk mewajibkan semua pekerja gig membuat caruman Perkeso secara tetap.

A Baskaran daripada Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya pula berkata, dengan teknologi pesat berkembang dan semakin digunakan perniagaan, wujud keperluan untuk menyediakan program peningkatan kemahiran kepada pekerja gig yang berkemahiran rendah dan sederhana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.