‘Tak masuk akal’, Tiong diselar fokus hak perokok berbanding kesihatan awam

‘Tak masuk akal’, Tiong diselar fokus hak perokok berbanding kesihatan awam

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye meminta ahli politik mendidik diri mengenai risiko merokok.

Dr Lee Boon Chye berkata, kesihatan awam perlu diutamakan berbanding hak perokok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing digesa mendidik dirinya berhubung risiko merokok terhadap kesihatan.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, bahaya merokok termasuk kanser dan penyakit jantung, direkodkan secara meluas dan disokong bukti penting.

Dr Lee Boon Chye.

Beliau kecewa dengan kenyataan Tiong minggu lalu yang mendakwa bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin gagal membuktikan merokok boleh menyebabkan kanser.

“Dia patut baca buku teks perubatan dan ia akan beritahu kamu. Saya kecewa dengan kenyataan Tiong,” katanya kepada FMT.

Kenyataan Tiong menyusul perdebatan mengenai cadangan rang undang-undang (RUU) kawalan tembakau “generasi penamat” yang akan melarang individu lahir selepas 2007 merokok.

“RUU itu perlu diluluskan kerana ia penting bagi mengawal wabak penyalahgunaan tembakau,” kata Lee sambil menambah “tidak masuk akal” untuk menteri fokus melindungi hak perokok berbanding kesihatan awam, khasnya generasi muda daripada ketagihan nikotin.

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok serta produk cape kepada individu lahir selepas 2007.

Selepas kenyataan Tiong, Khairy mempersoalkan kecekapan menteri itu.

Lee berkata, setiap Kabinet mempunyai menteri tidak cekap dan ketika Khairy menjadi menteri kesihatan, ada kalangan anggota Kabinet ketika itu tidak menyokong cadangan undang-undang tembakau terbabit.

“RUU itu akan diluluskan (ketika itu) jika bukan disebabkan kurang sokongan daripada rakan-rakannya sendiri.”

Presiden Persatuan Perubatan Ketagihan Malaysia, Dr Steven Chow berkata, kelewatan melaksanakan RUU itu menunjukkan timbul masalah besar dalam strategi semasa untuk memerangi ketagihan merokok.

Tetapi katanya, beberapa langkah asas perlu diambil sebelum melaksanakan RUU itu.

“Negara seperti New Zealand dan Australia menghabiskan beberapa dekad melaksanakan dasar, peraturan dan program pengurangan bahaya tembakau mampan sebagai persediaan untuk langkah itu.

“Di Malaysia, kita belum memulakan sebarang program pengurangan bahaya yang bermakna,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, rawatan berkesan terhadap ketagihan opioid di Malaysia, yang dikendalikan pengamal perubatan dan doktor keluarga terlatih, menonjolkan nilai program ini, namun RUU semasa tiada sokongan untuk penyedia penjagaan kesihatan ini meneruskan peranan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.