Kajian LRT P Pinang oleh MRT Corp dijangka siap awal tahun depan

Kajian LRT P Pinang oleh MRT Corp dijangka siap awal tahun depan

Projek itu juga sedang dalam peringkat menunggu keputusan MOT bagi memuktamadkan kaedah pelaksanaan dan perincian teknikal, menurut exco.

Kerajaan persekutuan sebelum ini telah memberikan peruntukan sebanyak RM10 bilion bagi pelaksanaan Projek LRT Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menawarkan tender untuk pelantikan perunding bagi membuat kajian berkenaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu, DUN Pulau Pinang diberitahu hari ini.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata, kajian yang dijangka siap awal tahun depan itu akan memberi lebih banyak perincian terhadap projek LRT Pulau Pinang.

“Kita berharap kajian itu boleh memberi lebih maklumat berkenaan projek berkenaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah) yang ingin tahu butiran dan skop terperinci projek LRT Pulau Pinang pada sidang DUN Pulau Pinang di sini.

Menurut Zairil, projek berkenaan sedang dalam peringkat menunggu keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memuktamadkan kaedah pelaksanaan dan perincian teknikal, iaitu dari segi jajaran dan lokasi stesen LRT.

Beliau berkata, perincian kos, kaedah pelaksanaan serta tarikh permulaan projek juga bergantung kepada keputusan pihak kementerian.

Pihak kerajaan negeri, katanya, komited untuk memperkasakan pengangkutan awam menerusi pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

“Justeru, pengumuman peruntukan bagi pelaksanaan Projek LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM10 bilion adalah langkah pertama ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang dari segi liputan pengangkutan awam, perkhidmatan dan hubungan antara kawasan kejiranan serta menjadi pemangkin ekonomi negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.