Trend demam denggi meningkat, kata Zaliha

Trend demam denggi meningkat, kata Zaliha

Menteri kesihatan berkata musim tengkujuh yang melanda ketika ini meningkatkan trend jangkitan di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya berwaspada susulan trend peningkatan kes jangkitan demam denggi ketika ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan trend peningkatan kes jangkitan demam denggi di enam negeri setakat ini, kata Menterinya Dr Zaliha Mustafa.

Menurut beliau, musim tengkujuh yang melanda ketika ini meningkatkan trend jangkitan di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak, namun menjelaskan keadaan masih terkawal.

“Orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihat supaya berwaspada dengan menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan penularan kes demam denggi,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah (SMK) Bukit Gambir, pagi tadi.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-44 (ME44) bagi tempoh 29 Okt hingga 4 Nov lalu meningkat 96.9% kepada 100,936 kes berbanding 51,262 kes bagi tempoh sama pada 2022.

Sementara itu, Zaliha berkata kementerian juga bimbang dengan peningkatan kes hipertensi atau darah tinggi dan diabetes dalam negara, yang sering kali menyaksikan kegagalan orang ramai untuk membuat saringan awal.

Beliau berkata saringan awal penting kerana kedua-duanya adalah penyakit kronik yang boleh membawa kepada komplikasi kerosakan organ penting tubuh seperti buah pinggang, mata dan jantung sekiranya tidak mendapat rawatan awal.

“Akhir-akhir ini khususnya selepas pandemik, trend penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi, diabetes dilihat meningkat, dan sebab itu kita mahu rakyat berani tampil melakukan saringan kesihatan.

“Tambah membimbangkan KKM adalah 50% dari penghidap hipertensi dan diabetes, mereka tidak sedar ada penyakit itu kerana tidak melakukan saringan di peringkat awal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.