
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata demikian susulan keputusan kerajaan mempertimbangkan semula cadangan pemotongan bajet RM3.06 bilion kepada KKM, selepas mengambil kira kepentingan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada perdana menteri kerana menyambut permohonan dan cadangan KKM supaya pemotongan dicadangkan ketua setiausaha Perbendaharaan dipertimbangkan semula.
“Kalau boleh, jangan ada potongan langsung. Namun jika perlu, ia hanya melibatkan perkara bukan perkhidmatan teras dan tidak berkaitan kemaslahatan rakyat,” kata Dzulkefly selepas melawat tapak projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Manjalara.
Terdahulu, Kementerian Kewangan mencadangkan pemotongan perbelanjaan operasi sebanyak RM5.4 bilion untuk KKM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai sebahagian usaha menjimatkan dana kerajaan susulan kesan konflik di Timur Tengah.
Satu arahan yang dikeluarkan Perbendaharaan sebelum ini mengandungi cadangan penjimatan kos boleh dicapai pelbagai kementerian, jabatan dan agensi, tetapi tanpa perincian sumber penjimatan itu.
Arahan berkenaan menyatakan RM10 bilion boleh dijimatkan secara keseluruhan, termasuk RM3.06 bilion daripada KKM dan RM2.39 bilion daripada KPT.