
Harian Metro melaporkan Muhammad Asmirul Abdullah, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia dituduh sengaja menyebabkan kecederaan kepada Nur Adilah Mohd Fadli, 27, dengan memukul telinga dan bahu kiri mangsa menggunakan topi keledar.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di tepi jalan dekat Kampung Ma Lok, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah pada 11.30 malam 9 Nov lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun, denda, dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon tarikh sebutan baharu bagi serahan dokumen dan tertuduh diikat jamin RM5,000 sementara menunggu perbicaraan selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung anak dan isteri.
Hakim Nariman Badruddin membenarkan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin bercagar, serta kes disebut semula 18 Dis ini untuk serahan dokumen.