Wanita, rakan lelaki mengaku tak salah cuba bunuh suami

Wanita, rakan lelaki mengaku tak salah cuba bunuh suami

Media semalam melaporkan seorang wanita dan teman lelakinya ditahan bagi bantu siasatan cubaan bunuh suami wanita itu, dipercayai ada kaitan wang tuntutan insurans.

N Egavalli (right) and R Kamala Sarna (left) at the Johor Bahru sessions court today. (Bernama pic)
N Egavalli dan R Kamala Sarna di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang suri rumah dan penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan cuba membunuh suami wanita itu.

Harian Metro melaporkan N Egavalli, 46, dan rakan lelakinya, R Kamala Sarna, 38, membuat pengakuan itu di depan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Mereka didakwa cuba membunuh Kumaresan Ganapathy, 48, secara bersama dengan menutup mukanya menggunakan bantal di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru pada 9.30 malam 22 Dis lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina, mencadangkan tiada jaminan ditawarkan kepada dua tertuduh kerana cubaan membunuh kesalahan berat.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Bharathi, bagaimanapun memohon jaminan atas alasan wanita itu mempunyai dua anak autistik (non verbal autism) berusia 17 dan 21 tahun yang memerlukan penjagaannya.

Katanya, tiada alasan wanita itu melarikan diri atau menghilangkan diri kerana mempunyai anak kurang upaya (OKU), selain beliau memohon jaminan dengan syarat tambahan ditetapkan mahkamah.

Menurutnya, suami tertuduh yang bekerja di sebuah gudang di Changi, Singapura dengan pendapatan SGD2,500 (RM7,900) hanya pulang pada waktu malam.

Beliau berkata, tertuduh lelaki itu pula mempunyai seorang anak dan isteri berusia 38 tahun yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta dengan pendapatan RM7,000 sebulan.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berhampiran serta dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Feb depan sementara menunggu penyerahan dokumen.

Semalam, media melaporkan seorang wanita dan teman lelakinya ditahan bagi membantu siasatan cubaan membunuh suami wanita itu di rumah mereka di Taman Ehsan Jaya, dipercayai ada kaitan wang tuntutan insurans.

Polis berkata, isteri mangsa didapati membenarkan teman lelakinya masuk ke rumah semasa mangsa sedang tidur dan memegang kaki suaminya untuk teman lelakinya menekup muka mangsa hingga sesak nafas.

Menurut laporan, siasatan lanjut juga mendapati isteri mangsa kerap bertanyakan jumlah wang dan syarikat insurans dicarum mangsa kira-kira seminggu sebelum kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.