
Sumber memberitahu FMT Agus meletak jawatan “berkuat kuasa semalam”.
Dakwaan ini menyusuli laporan Suara.TV, yang memetik sumber sebagai mendakwa Agus meletak jawatan semalam.
Bagaimanapun, Agus ketika dihubungi FMT enggan memberi respons terhadap dakwaan itu, mengatakan masih terlalu awal untuk memberikan sebarang kenyataan.
“Hubungi saya apabila dapat pengesahan…selepas perdana menteri pulang,” katanya.
Agus memulakan tugas sebagai ketua pengarah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri itu pada 2 Feb lalu.
Tanggungjawab J-Kom antaranya menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat, dengan kerjasama agensi kerajaan dan NGO.
Dahulunya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas, ia dijenamakan semula pada 25 Nov 2020, dengan matlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.
Sebelum ini, pakar politik dan media menyarankan kerajaan menutup atau merombak operasi J-Kom kerana tugasnya dikatakan bertindih dengan kementerian atau gagal menyampaikan dasar kerajaan dan menjawab kenyataan pembangkang.
Saranan ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui kerajaan boleh melakukan lebih baik lagi dalam berkomunikasi dengan rakyat pada PRN enam negeri lalu.