
“Saya telah mengarahkan J-Kom meneliti cadangan rombakan bersesuaian untuk memenuhi hasrat supaya maklumat sampai kepada komuniti,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media PRN Sabah di Penampang, Sabah.
Fahmi menegaskan pihaknya sentiasa terbuka menerima cadangan dan pandangan untuk menambahbaik penyampaian J-Kom.
“Kita sudah rombak sebelum ini, ada beberapa perkara kita ambil. Mungkin rakan-rakan dalam kalangan Ahli Parlimen ada pandangan tertentu dan kita hormati pandangan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi menerangkan ada isu dibangkitkan di Dewan Rakyat bukan bawah tugas Kementerian Komunikasi, dan setiap kementerian mempunyai unit komunikasi korporat untuk menjawab isu berbangkit.
Semalam, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, menggesa J-Kom dirombak kerana capaian dalam talian unit itu adalah terhad.
Mengambil contoh audio siar ketua pengarah yang menurutnya menerima kurang daripada 50 tontonan di YouTube, Khoo berkata ramai yang terlepas maklumat mengenai dasar-dasar utama.
Fahmi menjelaskan audio siar tersebut disiarkan di pelbagai platform, dan apabila diteliti secara keseluruhan, ia tidak seburuk seperti didakwa Khoo.
Beliau bagaimanapun menerima cadangan penambahbaikan dengan hati terbuka, mengatakan pihak adanya terima laporan tentang gerak kerja J-Kom.
“Ada beberapa perkara boleh dimantapkan,” katanya.